Friday, August 13, 2010

MINGGU 5:JURNAL REFLEKSI






Pengetahuan penulis tentang muzik Gamelan dan Caklempong selama ini adalah terlalu cetek. Penulis hanya mengetahui bahawa muzik Gamelan dimainkan dengan satu alat muzik yang penulis kenali sebagai ‘zylofon’ manakala bagi muzik Caklempong pula penulis langusng tidak pernah mengetahui kewujudan alat muzik tersebut sehinggalah kuliah minggu ke lima diikuti. Pada masa itu, barulah penulis sedar bahawa terlalu banyak rupanya kesenian tradisional tempatan yang masih tidak diketahui oleh penulis. Apabila kelas minggu kelima berlangsung, penulis terasa amat tertarik untuk memainkan alatan muzik tersebut kerana ia merupakan gabungan alatan-alatan muzik yang hampir sama namun mempunyai karekter tersendiri bagi memantapkan lagi bunyi yang dihasilkan.

Terdapat beberapa input baru mengenai muzik tradisional dalam kuliah kelima ini yang diperolehi penulis terutama muzik Gamelan dan Caklempong. Di Malaysia terdapat dua jenis utama muzik Gamelan iaitu Gemelan Jawa dan Gamelan Terengganu. Dari segi sejarah, Gamelan Terenggau sebenarnya berasal daripada Jawa yang dibawa masuk ke Pahang kerana wujud perkahwinan di antara kerabat Jawa dan Pahang. Keadaan yang sama juga berlaku di Terenggau apabila kerabat di Raja Terenggau berkahwin dengan salah seorang ahli kerabat Pahang maka secara perlahan-lahan muzik Gamelan di bawa masuk ke Istana Terenggau dan ia telah melalui proses pengubahsuaian dan hanya dimainkan untuk tujuan hiburan golongan Istana Sahaja. Sementara itu, Gamelan Jawa yang banyak dimainkan di negeri-negeri Selangor dan Johor pula berasal daripada Pulau Jawa yang dibawa masuk ke Tanah Melayu sewaktu penjajahan Eropah. Walaubagaimanapun, Gamelan Jawa mempunyai sedikit perbezaan daripada Gamelan Terengganu kerana ia merupakan alat muzik yang boleh dimainkan oleh golongan rakyat dan dijadikan sebagai satu bentuk hiburan bagi mereka dan ia tidak hanya terhad untuk golongan Istana seperti yang berlaku di Terengganu (Gamelan Terengganu). Kedua-dua jenis Gamelan tersebut adalah daripada kategori muzik tarian utama, kerana permainan alunan muzik gamelan akan ditarikan bersama dengan tarian asyik namun Gamelan Jawa memaparkan sedikit kelainan apabila ia turut menyelitkan nyanyian dalam persembanhannya.

Dari segi peralatan alat muzik, Gamelan Terengganu dilihat mempunyai alat muzik yang sedikit berbanding dengan Gamelan Jawa. Gamelan Terengganu mempunyai tujuh alat muzik secara keseluruhannya iaitu enam daripada keluarga Idiofon(boning, saron barung, sarun penerus, gambang, kenong, dan gong) dan satu daripada membranofon iaitu gendang. Manakala Gamelan Jawa pula memerlukan peralatan yang lebih banyak untuk dimainkan, ia merangkumi Sembilan peralatan secara keseluruhannya seperti gendang (ketipung, jiblon, bem), bonang/keromong , demung ,saron barung ,saron penerus/pekin ,gambang ,kenong ,kempol dan gong.

Notasi pada muzik Gamelan dilihat tidak begitu penting pada zaman dahulu kerana ia dimainkan tanpa nota-nota muzik seperti yang terdapat dalam muzik-muzik moden kini. Masyarakat zaman dahulu menggunakan sistem hafalan untuk memainkan muzik Gamelan. Walaubagaimanapun, bagi memudahkan proses hafalan tersbut, orang-orang zaman dahulu telah mencipta satu sistem nombor yang dikenali sebagai sistem kepatihan dan ia masih kekal digunapakai sehingga sekarang. Selain daripada itu muzik Gamelan pada masa dahulu di pelajari secara tidak formal iaitu melalui pendengaran dan peniruan daripada nada-nada yang mudah sehinggalah ke nada yang agak kompleks. Selain daripada itu, muzik Gamelan juga memiliki tekstur polifoni iaitu gubahan yang mempunyai banyak lapisan suara. Disamping itu, jika didengar dengan teliti, muzik Gamelan sebenarnya dimainkan secara berulang ataupun secara bulatan dan setiap akhir satu bulatan ia akan ditandai dengan bunyi alatan tertentu seperti bunyi gong.



Selain daripada gamelan terdapat satu lagi jenis alat muzik tradisional Malaysia yang menggunakan banyak alatan muzik daripada keluarga idiofon iaitu Caklempong. Caklempong sebenarnya alat muzik yang dibawa masuk daripada Minangkabau dan banyak dimainkan di kawasan Kuala Pilah Negeri Sembilan. Muzik ini kebiasaannya dimainkan untuk mengiringi tarian seperti tarian lilin, pencak silat dan turut dimainkan semasa majlis-majlis perkahwinan.

Terdapat enam alatan muzik utama yang diperlukan untuk memainkan alat muzik Caklempong, antaranya ialah Bonang. Bonang merupakan alat muzik yang menyerupai gong iaitu mempunyai tombol dipermukaannya namun saiznya lebih kecil berbanding gong. Sistem tuning Bonang ialah dengan cara mengetuk bahagian tombol untuk mencari pic yang paling tinggi dan proses yang sama turut dilakukan untuk mencari pic yang lebih rendah namun dengan cara mengetuk bahagian belakang alat muzik tersebut. Greteh juga merupakan salah satu alat muzik utama Caklempong. Ia merupakan bonang yang telah disusun sebanyak 15 biji bonang dalam satu set (satu papan) dengan nada c minor dan tujuh nada pilihan. Seelok-eloknya ia di dalam muzik Caklempong terdapat dua jenis greteh supaya salah satu daripadanya boleh memainkan kaunter muzik. Tingkah pula alat yang seakan-akan greteh namun ia bersaiz lebih kecil yakni hanya mempunyai lapan biji bonang dalam satu set. Tingkah berfungsi untuk mengawal rentak dan akan dipukul mengikut pukulan gendang.

Sauwa/saua pula mempunyai persamaan dengan Tingkah kerana ia juga memiliki lapan biji bonang dalam satu set atau satu papan. Ia akan diketuk mengikut kod melodi. Oleh kerana ia tidak mempunyai notasi tertentu maka pemainnya akan diajarkan terlebih dahulu tantang kod melodinya sebelum ia dimainkan.. Gendang juga merupakan antara satu instrument utama Caklempong, ia terdiri daripada dua iaitu gendang ibu (bersaiz besar) dan gendang anak (bersaiz dua senitmeter lebih kecil daripada gendang ibu). Kedua-dua bahagian kulit gendang akan dipukul secara bertingkah untuk menghasilkan rentak. Terdapat juga alatan muzik daripada keluarga aerofon iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui tiupan yang terdapat di dalam Caklempong iaitu bangsi dan serunai. Bangsi sejenis alat muzik yang seakan-akan rekoder yang diperbuat daripada buluh yang mempunyai tujuh lubang jari untuk menghasilkan nada yang sepadan dengan nada Greteh. Serunai pula diperbuat daripda tanduk dan hanya mempunyai tiga lubang. Ia kebiasaannya membawa nada yang sama dengan alat muzik greteh.



` Kesimpulannya, alat muzik Gamelan dan Caklempong sebenarnya boleh di pelajar melalui pelbagai cara antaranya ialah melalui pameran muzik tradisional agar masyarakat lebih terdedah kepadanya. Selain daripada itu, peranannya dalam majlis-majlis rasmi juga tidak harus dipandang sepi, malah ia boleh dijadikan sebagai alat muzik utama dalam majlis-majlis rasmi, kerana secara tidak langsung mampu menambat hati masyarakat untuk mempelajarinya secara lebiih dekat.

2 comments:

Amirulah on August 13, 2010 at 11:11 PM said...

penulisan yang sangat baik, mudah untuk difahami.

Marlin on August 14, 2010 at 10:25 PM said...

Saya sangat bersetuju dengan ulasan anda. Untuk pengetahuan anda, Muzium Negara telah menganjurkan Pameran Alat Muzik Tradisional Masyarakat Malaysia yang berlangsung selama 9 hari baru-baru ini. Pameran ini bertujuan untuk mempersembahkan evolusi alat muzik di negara ini kepada umum bagi menghayati asal-usul penciptaan muzik, matlamat, pengaruh serta latar adat dan budaya masyarakat berbilang kaum. Dengan adanya usaha seperti ini, diharapkan dapat memartabatkan lagi usaha kita untuk memelihara muzik tradisional kita yang semakin dilupakan.

Post a Comment

 

BLOG PELAJAR KUMPULAN A

BLOG PELAJAR KUMPULAN B

BLOG PELAJAR KUMPULAN C

SMP 2252 NORZIANNIE Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template